Sunday, February 14, 2010

Sihir dan isu di sebaliknya

Usrah kali ini diadakan di rumah Penghulu KMD - Saudara Mohd Taufik Alias & Aini (untuk muslimat) dan rumah Abang Azmi & Kak Raihan (untuk muslimin). Perbincangan usrah pada kali ini banyak berkisar kepada fenomena sihir dan alam jin.
Ia sebenarnya menjadi satu isu besar dalam kalangan masyarakat Melayu kerana kerap kali soal ilmu sihir dan penderitaan akibat daripada itu dihebahkan. Malah ada yang pernah menyaksikan sendiri situasi yang sukar dijawab oleh sains ini. Hakikatnya alam jin adalah berbeza dengan alam dunia nyata. Dalam konteks masyarakat Melayu, perkara ini seringkali diterjemahkan dalam konsep yang pelbagai dan juga dalam konteks yang mengelirukan. Adakalanya ia berselirat dengan amalan kebatinan, ilmu-ilmu pertahankan diri serta pelbagai lagi. Mereka yang teraniaya dengan perkara ini lazimnya menantikan keajaiban dalam merawatinya. Walhal kehidupan dunia ini bergerak atas sunah yang ditentukan Allah, yakni pergerakan alam ini bergerak atas sunnah yang dietntukan Allah swt - umpamanya sunah "api" itu membakar serta panas. Maka apabila api "tidak membakar dan tidak panas", ia seolah-olah terkeluar tabi'i nya. Apabila perkara ini berlaku, kita akan melihatnya sebagai suatu yang ajaib. Kenapa kita berasa begitu? Sebab pada kita memang api sifatnya membakar. Sains juga membuktikan ianya membakar. Namun kita mungkin tidak tahu yang mungkin ada masanya api tidak membakar. Adakah wujud sihir di situ? Ada masanya material pun boleh bertukar menjadi ular (merujuk kepada ahli sihir pada zaman nabi Musa).
Lazimnya masyarakat Melayu kerap kali mengaitkan soal agama dengan banyak perkara "ajaib", ertinya apabila bercakap tentang agama yang lebih ditonjolkan adalah keajaiban (maknanya jarang-jarang berlaku dalam situasi biasa). Kita juga lebih berasa kagum dengan perkara-perkara ajaib dalam kehidupan beragama. Bagaimana dengan asas-asas kepada fenomena ini? Kita juga sering keliru antara "pendapat" yang disuarakan oleh ulamak terdahulu dengan "isu sebenar" yang mendasari sesuatu perkara. Kita jarang untuk kembali menyemak Al-Quran dan Al-Hadis tetapi lebih tertumpu kepada jawapan yang diberikan oleh ilmuan terdahulu. Memang wajar untuk menghormati pendapat yang diberikan itu tetapi sejauhmanakah kita berupaya menilai antara "pendapat" beliau dengan "asas kepada beliau mengeluarkan pendapat itu". Umpamanya dalam kitab-kita fekah disebut tentang prioriti untuk menjadi seorang imam. Ada pengkategorian yang teliti tentang kelayakan menjadi imam. Ianya penuh dengan rasional. Apakah asas kepada kategori ini? Tidakkah kita kaji lebih mendalam kenapa kategori ini dibuat? Apakah asas pertimbangannya? Sedarkah kita bahawa nabi Muhammad saw mengharapkan imam adalah seorang pemimpin kepada satu kumpulan muslim. Imam dan pemimpin itu wajarnya satu. Anehnya imam lain, pemimpin lain. Maka apabila imam memberi nasihat, ia tidak lebih kepada cakap-cakap biasa. Tapi apabila pemimpin memberi nasihat ia lebih dilihat sebagai suatu yang amat penting. Jadi, sebelum berhujah amat perlu kita fahami isu dan masalah dasar yang menjadi asas kepada pendapat seseorang ilmuan. Kenapa perkara ini terjadi? Pendapat saya ialah sebab kurangnya ilmu alat. Iaitu ilmu yang membantu kita untuk memahami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan usaha memahami Islam. Antara ilmu alat yang mesti ialah bahasa Arab itu sendiri dibantu dengan disiplin ilmu

Sebarang respon, pendapat dan hujah-hujah terhadap perkara ini amat dialu-alukan.

Mohd Mahzan Awang
*Artikel ini bukan kenyataan rasmi KMD tetapi laporan perbincangan tidak formal warga KMD beserta refleksi penulis*
-Raja Ali Haji (1808 - 1873) pernah mengkritik masyarakat Melayu yang kurang menulis tetapi lebih banyak bercakap. Akhirnya segala pemikiran Melayu lampau tidak didokumentasikan, tak dapat diteliti, susah dikaji dan gagal dikembangkan oleh generasi seterusnya. Ia juga membuatkan khazanah Melayu menjadi beku. Berbeza dengan budaya masyarakat Barat yang rajin menulis idea, pengalaman serta refleksi yang akhirnya dikembangkan oleh generasi berikutnya. Malah, banyak karya-karya lisan dibukukan oleh pegawai Inggeris. Umpamanya W.G.Shellabear yang mendokumentasikan bebarapa karya agung Melayu. Ia membantu kepada kajian tentang pemikiran masyarakat lampau. Kenapa ianya penting? Sejarah lazimnya berulang ... -